MEI 2022

Perjelas Bantuan Kebajikan Secara Meluas


SPAOH: Pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak diminta menjelaskan kepada rakyat berhubung pelbagai program bantuan kebajikan jabatan itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana masih ramai penduduk rumah panjang, kampung, penempatan terutama di luar bandar tidak mengetahui bantuan yang disediakan itu.

"Jelaskan kepada mereka mengenai lapan kategori bantuan yang diberikan JKM Sarawak dan siapa yang layak untuk memohon serta bagaimana cara untuk memohon," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan bantuan "Sejambak Kasih Gawai 2022" JKM Sarawak kepada 100 penerima Bahagian Betong sempena Majlis Sambutan Gawai Dayak Akan Datang di Dewan Sekolah Menengan Kebangsaan (SMK) Spaoh di sini.

Uggah berkata, amat menyedihkan apabila ada di antara pemohon gagal dalam permohonan hanya kerana mereka memohon di kategori yang salah.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai dasar sosial yang sangat inklusif dalam membantu anggota masyarakat yang kurang bernasib baik.

Justeru, beliau meminta JKM Sarawak memberikan pendedahan lebih meluas kepada orang ramai berhubung bantuan kebajikan.

Sementara, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Awal Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Mohammad Razi Sitam berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.7 juta untuk menyediakan bantuan Gawai kepada 25,891 orang di seluruh Sarawak.

Ini katanya termasuk 2,102 daripada Bahagian Betong dan kerajaan telah memperuntukkan RM210,200 untuk tujuan itu.

“Berhubung bantuan bulanan pula, dari Januari hingga April tahun ini, JKM Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM81 juta untuk membantu 51,495 penerima di seluruh negeri.

“Bagi Bahagian Betong, kita mempunyai 4,191 penerima yang telah menerima RM6.6 juta manakala terdapat lapan kategori program bantuan disediakan termasuk untuk golongan belia,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu.

Untuk rekod, setiap penerima bantuan menerima wang tunai RM100 dan hamper bernilai RM80 dan wang itu dikreditkan ke akaun masing-masing.

Sumber dari : Jiwa Bakti